Wednesday, 26 December 2012

SIFAT ORANG CEMERLANG


oleh Dato' Hj Muhammad Bin Zakaria ( hjmohdz@telagabiru.net.my)
Semua ibu bapa mahukan anak mereka cemerlang dalam semua aspek kehidupan. Mereka mahu anak mereka cemerlang dalam pelajaran hingga berjaya menggondol semua atau straight A dalam peperiksaan.
Pada masa yang sama mereka mahu anak mereka cemerlang dalam akhlak, sahsiah dan perhubungan sesama manusia. Kalau boleh mereka juga mahu anak mereka cemerlang dalam sukan, persatuan, penguasaan bahasa kedua, IT, mengurus kehidupan dan kerjaya.
Yang perlu memikul beban ini ialah anda sendiri. Sebab itu anda harus bersedia mulai sekarang untuk menjadi cemerlang. Anda tidak semestinya memiliki bakat semula jadi yang terlalu tinggi seperti orang lain yang telah berjaya dengan cemerlang. Namun anda harus mulai menghayati sifat-sifat orang cemerlang.
Apakah kayu pengukur kecemerlangan menurut perspektif Islam? Bolehlah kita ambil contoh kejayaan tokoh-tokoh Islam terdahulu dari sudut personaliti, keluarga, kerjaya, agama, sains, perubatan, ketamadunan, politik dan ekonomi.

FAKTOR KEJAYAAN
Apakah faktor kejayaan mereka sehingga mereka dikenali seantero dunia dan sumbangan mereka memberi kesan yang besar dalam kehidupan manusia? Tokoh Islam terdahulu telah terbukti mencipta sejarah kecemerlangan hingga diguna pakai hari ini.
Tokoh-tokoh yang berjaya ini mempunyai sifat cemerlang yang tiada tolok bandingnya. Antara sifat kecemerlangan mereka ialah:

Niat yang betul
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Setiap amalan adalah dengan niat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Sayidina Umar al-Khattab)
Oleh sebab itu, anda harus sentiasa memasang dan membetulkan niat sebelum memulakan apa jua pekerjaan, sama ada yang berbentuk ibadah mahu pun amal kebiasaan.

Keyakinan yang tinggi kepada Allah
Orang cemerlang meletakkan keyakinan bahawa Allah berserta dengan apa yang kita usahakan. Allah tidak menzalimi umatnya. Mereka banyak berdoa dan berserah kepada Allah setelah melakukan segala usaha keras untuk berjaya. Mereka juga berpegang kepada moto “Berpantang maut sebelum ajal.” Tidak ada sesuatu yang mampu menahan kehendak Allah s.w.t. Keyakinan ini mampu memantapkan rohani kepada tahap tinggi.

Ada wawasan dan matlamat
Anda harus meletakkan wawasan dan matlamat dalam hidup. Ada cerita tiga orang pekerja binaan. Apabila ditanya apakah wawasan atau matlamat mereka apabila bekerja:
Pekerja pertama berkata, “Saya nak cari makan.”
Pekerja kedua berkata, “Saya nak buat dinding bangunan.”
Pekerja ketiga berkata,”Saya hendak membina sebuah bandar yang indah dan permai.”
Ya, pekerja yang ketiga itu mempunyai wawasan dan matlamat yang betul. Namun sebagai seorang Islam, matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Anda terikat dengan peraturan dan hukum-hakam Islam. Anda juga harus ingat bahawa matlamat duniawi anda mestilah berkaitan dengan kehidupan di akhirat.

Berani dan sanggup berkorban
Tokoh-tokoh Islam terdahulu sanggup untuk bersusah payah. Lihat sahaja sejarah hidup Imam al-Nawawi dalam menuntut ilmu. Beliau sentiasa menghabiskan masa dengan belajar, menulis, menghafal, solat dan bertasbih. Apabila mengantuk, beliau tidur sebentar sambil duduk.
Umar Abdul Aziz, khalifah yang ketiga dibunuh pada usia 40 tahun. Khalid al-Walid mengharungi 100 medan peperangan, membunuh 5,000 orang musuh dalam Perang Yarmuk serta mematahkan 9 bilah pedang. Ali bin Abi Talib berani beradu kekuatan dalam Perang Badar, membuka benteng Khaibar dan menyembelih Amru bin Wud dalam Perang Khandak.

Sentiasa menambah ilmu pengetahuan
Bagaimana tokoh terdahulu menguasai ilmu pengetahuan? Lihatlah bagaimana Imam Ahmad memberi fatwa kepada 60,000 permasalahan dengan disertai dalil. Lihat juga bagaimana Imam Abu Hanifah menjual sebahagian perabot rumahnya semata-mata digunakan untuk mencari ilmu.

Perhatian terfokus
Untuk cemerlang anda harus fokus kepada apa yang sedang anda lakukan. Lihat sahaja bagaimana Jabir bin Abdullah sanggup menempuh perjalanan selama sebulan ke Mesir semata-mata mencari sepotong hadis.
Kuasa fokus mampu menghasilkan kejayaan yang cemerlang seperti kuasa cahaya matahari yang difokuskan oleh kanta cembung yang mampu menukarkan tenaga cahaya matahari kepada tenaga api.

Disiplin yang tinggi
Orang yang berdisiplin tinggi bekerja dengan sistematik. Mereka mempunyai rutin harian yang mantap. Disiplin yang tinggi mampu mengawal diri untuk menghasilkan keputusan yang cemerlang. Lihat sahaja disiplin Imam al-Bukhari yang menghasilkan kitab sahihnya dalam masa 16 tahun. Setiap hadis yang hendak ditulis dimulakan dengan mandi sunat dan solat sunat 2 rakaat!

Bersifat warak
Orang yang warak sentiasa bersiap sedia untuk menuju ke alam akhirat. Namun sifat ini tidak sekali-kali meninggalkan kepentingan duniawi. Abu Thalhah al-Ansari berpuasa 40 tahun berturut-turut. Imam Bukhari pernah berkata,”Aku tidak pernah berdusta sejak akil baligh.” Imam Syafii pula berkata,”Aku tidak pernah bersumpah demi Allah, sama ada benar atau dusta.”
Pemurah juga merupakan salah satu sifat warak. Abu Bakar al-Siddiq menginfakkan seluruh hartanya untuk perjuangan Islam. Uthman bin Affan pula membeli telaga Rum kepunyaan seorang Yahudi di Madinah untuk umat Islam.

Sabar
Untuk mencapai kecemerlangan kita harus bersabar. Kejayaan tidak mungkin berhasil semalaman. Cuba bayangkan bagaimana Ibn Hajar mengarang kitab Fath al-Bari dan Muqaddimah dalam tempoh 32 tahun dan Abu Ubaid pula mengarang kitab al-Gharib dalam masa 40 tahun!

Ada motivasi dan inisiatif diri yang tinggi
Orang yang berjaya bersungguh-sungguh dalam melakukan apa jua pekerjaan. Tiada sifat malas dalam kamus kehidupan mereka. Untuk cemerlang anda perlu berusaha ke tahap optimum. Mengikut sejarahnya Abu Ishaq al-Syirazi mengulang-ulang pelajarannya sebanyak 100 kali, dan mempelajari setiap tajuk sebanyak 1,000 kali dan menulis 100 jilid buku.

Mengikut dan mencontohi orang yang telah berjaya
Kita mudah mengikut jalan yang telah ditempuh oleh tokoh yang telah berjaya. Metodologi yang diguna pakai telah terbukti berkesan. Cuba teliti sejarah dan biografi hidup mereka. Ibn Sina sendiri membaca buku al-Farabi sebanyak 40 kali sebelum menghasilkan karya agungnya.

Mempunyai daya tahan yang tinggi
Untuk berjaya kita juga harus bekerja dengan lebih keras dan komited. Jangan cepat menyerah kalah. Gunakan masa pada tahap optimum. Setiap pekerjaan hendaklah dilakukan dengan istiqamah iaitu kerja yang berterusan (consistence).

Tekun dan cekap membina kerjaya
Kejayaan meniti atas kerjaya kita. Sebab itu kita hendaklah membina kerjaya dengan mantap. Sedangkan Nabi Idris a.s. bekerja sebagai tukang jahit, Nabi Daud a.s. bekerja sebagai tukang besi dan Nabi Musa a.s. bekerja sebagai penggembala kambing. Imam Abu Hanifah pula bekerja sebagai penjual kain. Anda mungkin memandang enteng terhadap kerja-kerja ini, namun kerja inilah yang telah mengukir sejarah hingga ke hari ini.

Mengembara dan mengambil pengajaran
Untuk cemerlang anda harus berfikiran terbuka. Anda harus banyak berjalan dan berfikir. Zubair al-Awwam merintis jalan ke negeri China dengan meninggalkan segala harta di Madinah akhirnya meninggal dunia di China. Ibnu Battuta pula mengelilingi dunia selama 30 tahun.

Menggunakan masa muda
Sebagai remaja anda harus menggunakan masa muda anda hingga ke tahap optimum seperti kata kumpulan nasyid Raihan dalam lagunya, Demi Masa. Ibn Taimiyah dilantik menjadi mufti ketika berusia 18 tahun. Muhammad bin al-Qasim menjadi panglima perang pada usia 17 tahun. Imam al-Ghazali pula menghafal al-Quran pada usia 6 tahun dan menjadi ulama besar pada usia 9 tahun!

Melaksanakan sifat atau akhlak terpuji (mahmudah)
Untuk menjadi orang cemerlang anda harus amanah dan jujur dalam semua aspek pekerjaan. Dua peristiwa penting berlaku pada zaman pemerintahan Sayidina Umar al-Khattab. Pertama ketika beliau bertemu dengan seorang budak penggembala kambing dan berpura-pura untuk membeli seekor kambing tanpa diketahui tuan punya kambing. Budak itu enggan melakukannya kerana sifat amanahnya.
Peristiwa kedua ialah ketika beliau terdengar perbualan seorang anak perempuan dengan ibunya yang menyuruh anaknya mencampurkan air pada susu supaya dapat keuntungan yang berlipat ganda.
Anak itu enggan, katanya, “Bukankah Sayidina Umar berkata jangan menipu.”
Balas ibunya, “Sayidina Umar tidak ada di sini. Dia tidak tahu.”
Anaknya membalas, “Kalau pun beliau tidak tahu, Allah tetap tahu.”

Bekerja secara berpasukan
Orang yang berjaya melakukan kerja secara berpasukan (team work). Semangat berjemaah mereka tinggi. Mereka memiliki semangat kekeluargaan dalam organisasi. Apabila melakukan sesuatu tugasan mereka melaksanakan semangat perbincangan (syura atau consultation) yang harmoni dan berkesan.

Meningkatkan kemahiran
Orang cemerlang mempelajari pelbagai kemahiran dan kepakaran. Otak manusia biasa mampu memiliki hingga 120 jenis kemahiran. Kemahiran mengisi masa lapang anda. Sebab itu ada ahli motivasi berkata, “Untuk melihat kecemerlangan seseorang, lihat apa yang dilakukan pada masa lapangnya.”
Antara kemahiran diri yang perlu ditingkatkan ialah kemampuan berkomunikasi dengan baik (perhubungan awam), menguasai bahasa kedua dan ketiga, teknologi maklumat, pengurusan diri, pengurusan kewangan, DIY (do-it-yourself), mengemas rumah, menulis, mencari sumber pendapatan kedua dan ketiga dan sebagainya.

Sentiasa muhasabah diri
Akhirnya orang yang cemerlang sentiasa menilai dan membaiki kelemahan diri. Prinsip hidup mereka ialah seperti Sayidina Abu Bakar al-Siddiq yang berkata atau melakukan setiap perbuatan pada hari ini lebih baik daripada semalam dan seterusnya.

Kesimpulan
Orang yang hendak jadi cemerlang tidak perlu sentiasa bersusah hati dengan mengukur tahap kecemerlangan mereka secara fizikal. Ibarat sebuah empangan, apabila semua anak-anak sungai dari hulu atau gunung mengalirkan air ke dalamnya, lama-kelamaan empangan itu akan penuh. Maksudnya jika kita menghiasi hidup kita dengan sifat-sifat orang cemerlang seperti yang disebutkan dalam rencana ini, sudah tentu diri anda akan menjadi cemerlang tanpa anda sentiasa berasa bimbang takut-takut diri anda tidak cemerlang.

sumber: SOLUSI
 http://www.telagabiru.net.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=262:sifat-orang-cemerlang&catid=42:artikal&Itemid=367

Tuesday, 25 December 2012

Selamat MengulangKaji Pelajaran



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم:
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ
 Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?, 

وَوَضَعْنَا عَنْكَ وِزْرَكَ 
Dan Kami telah menghilangkan dari padamu bebanmu, 

الَّذِي أَنْقَضَ ظَهْرَكَ 
yang memberatkan punggungmu? 

وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ 
Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu. 

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا 
Kerana sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan, 

إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا 
sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. 
 
فَإِذَا فَرَغْتَ فَانْصَبْ 
Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan
sungguh-sungguh (urusan) yang lain, 

وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَبْ 
dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.




Friday, 21 December 2012

Santun Gaya Rasulullah SAW

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, kita masih dikurniakan nikmat bernafas, nikmat ukhuwah, nikmat berkasih sayang dan yang paling utama, nikmat Iman dan Islam.

Apa khabar iman kita harini? Pasti teruji dek kesibukan mengejar masa, tugasan-tugasan yang tertangguh dan so on la. Pantang silap, pasti darah menyirap, tak pe, semua orang stress, yang membezakan kita, macamana cara kita handle stress, it's all about our attitude, nothing else, jangan pernah salahkan orang lain (point your finger to yourself la). Kadang-kadang, orang saja je nak uji kita dengan perkataan-perkataan yang tak enak didengar dek telinga kita, so, pandai-pandailah kawal situasi.

Tarik nafas.... senyum
Istighfar banyak kali.... senyum lagi...
Ucap syukur... senyum lagi....
Berterima kasihlah kepada semua yang ada di sekeliling kita. (kalau malu, cukuplah sekadar menghadiahkan senyuman, yang penting ikhlas)


Berbalik kepada topik asal, santun gaya Rasulullah SAW. 
Kesantunan adalah sifat tenang dalam kemarahan yang merupakan darjat yang lebih tinggi daripada sabar yang dimiliki oleh baginda SAW. Kerana sifat ini, even ulama Yahudi pun memeluk Islam (merujuk kepada kisah seorang Yahudi menagih hutangnya dengan baginda SAW). Betapa tingginya akhlak Rasulullah SAW.

Imam al-Jurjani menyebut, SANTUN ialah sifat tenang dalam kemarahan yang memuncak. Sifat ini lebih tinggi darjatnya berbanding sabar. Sabar merujuk kepada menahan diri daripada emosi, sementara santun adalah ketenangan ketika beremosi. 

Kalau duk tahan, pas tu pegi tumbuk dinding kat belakang tu, maknanya tak sampai tahap santun lagi la tu, please go back and praktis ya..hehe

Saiyidina Khidir a.s. pernah berkata kepada Nabi Musa a.s., 
"Wahai Musa! Biasakanlah dirimu bersabar maka kamu akan menjumpai kesantunan"

Maknanya di sini, step by step, kita latih diri kita bersabar. Bermula dengan benda-benda yang kecil dulu, contohnya semasa tunggu bas atau ada yang secara tidak sengaja melakukan kesalahan-kesalahan yang boleh di-consider, tanpa sedar atau tidak. Lama-lama kita akan terbiasa dengan sifat ni, in syaa Allah, akan jadi habit pula.


Think, nak sabar ke tak nak, pilihan ditangan anda (^__^)

So, sabar. Pegang perkataan SABAR. Dah kuasai sabar, barulah kita boleh jadi penyantun pulak.
(Sopan santun dengan santun tak sama ke?)

Tapi saya ni seorang yang pemarah, cane nak jadik santun ni? Sabar pun tak.huhu

Lek lu, tunggu next part pulak, kita amik jugak sunnah daripada baginda SAW. In syaa Allah, hidup bahagia. 

Hamba tak biasa menaip panjang-panjang, tapi sikit lagi ye..hehe

Sabar berkait dengan stress management, so manage your stress lek lok. Dah nak exam ni, eloklah la tu, amalkan selalu. Ceria gembira..

Last but not least, jangan berdendam dengan sape-sape, maafkan semua orang. Maybe harini dia tersilap, esok-esok mungkin langkah kita pula yang tersungkur. Salinglah menghulurkan tangan (^____^)

Sabda Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya marah adalah secebis api yang dinyalakan di dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang menggelembung? Maka apabila salah seorang daripada kamu merasakan sesuatu dari yang demikian, maka rapatkan diri kamu ke muka bumi (duduk menenangkan diri atau sujud kepada Allah"
Riwayat at-Tarmizi 
p/s:
Sabar manusia ber-limit. Semakin tinggi limit, semakin bagus la. So, benda-benda kecik tak yah nak amik pot sangat, cool ye wahai sahabat-sahabat, nak jadi daie kenalah sabar..hehe.. 
~no offence, just peringatan kepada diri sendiri~

Sunday, 16 December 2012

Sayang Sahabat Kerana ALLAH


Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w.:

Seorang lelaki menziarahi sahabatnya di sebuah kampung yang lain, 
lalu Allah memerintahkan seorang malaikat menunggunya di pertengahan jalan.

Tatkala lelaki itu tiba kepada malaikat,lalu malaikat itu pun bertanya :
"Saudara mahu ke mana ?" 

Lelaki itu menjawab: "Saya ingin menziarahi sahabat saya yang tinggal di kampung ini ." 

Malaikat itu bertanya lagi :
"Adakah saudara datang kepadanya kerana ada maslahat tertentu?: 

lalu lelaki itu menjawab :
"Tidak ,saya datang kepadanya semata --mata kerana mencintai sahabat saya itu kerana Allah."

Lalu malaikat menjawab :
"Sesungguhnya aku ini utusan Allah yang di utus kepadamu bagi memberitahu bahawa Allah telah mencintai kamu sebagaimana saudara mencintai saudara itu kerana Allah."

(Hadis riwayat Muslim)


Friday, 14 December 2012

Anda sudah membacanya??



Kerana Wudhuk

Memeluk Islam Kerana Mengkaji Wudhu
 
Prof Leopold Werner von Ehrenfels, seorang psikiater dan sekaligus neurology dari Austria, menemui sesuatu yang menakjubkan terhadap wudhu. Ia mengemukakan satu fakta yang sangat mengejutkan.

Bahawa pusat-pusat saraf yang paling peka dari tubuh manusia ternyata berada di sebelah dahi, tangan, dan kaki.


Pusat-pusat saraf tersebut sangat sensitif terhadap air segar. Dari sini ia menemui hikmah di sebalik wudhu yang membasuh pusat-pusat saraf tersebut. Malah ia mencadangkan agar wudhu bukan hanya milik dan kebiasaan umat Islam, tetapi untuk umat manusia secara keseluruhan.

Dengan sentiasa membasuh air segar pada pusat-pusat saraf tersebut, maka bererti orang akan memelihara kesihatan dan keselarasan pusat sarafnya. Pada akhirnya Leopold memeluk agama Islam dan mengganti fakta nama menjadi Baron Omar Rolf Ehrenfels.






Hikmah Wudhu

Ulama Fekah juga menjelaskan hikmah wudhu sebagai bahagian dari usaha untuk memelihara kebersihan fizikal dan rohani. Anggota badan yang dibasuh dalam air wudhu, seperti tangan, kawasan muka termasuk mulut, dan kaki memang paling banyak bersentuhan dengan benda-benda asing termasuk kotoran. Kerana itu, wajar kalau anggota badan itu yang harus dibasuh.

Ulama tasawuf menjelaskan hikmah wudhu dengan menjelaskan bahawa anggota badan yang dibasuh air wudhu memang daerah yang paling sering berdosa. Kita tidak tahu apa yang pernah diraba, dipegang, dan dilakukan tangan kita. Banyak pancaindera tersimpul di bagian muka.

Berapa orang yang jadi korban setiap hari dari mulut kita, berapa kali berbohong, memaki, dan membicarakan aib orang lain. Apa saja yang dimakan dan diminum. Apa saja yang baru diintip mata ini, apa yang didengar oleh telinga ini, dan apa saja yang baru dicium hidung ini? Ke mana sahaja kaki ini berjalan setiap hari?

Tegasnya, anggota badan yang dibasuh dalam wudhu ialah anggota yang paling berisiko untuk melakukan dosa.Fakta Organ tubuh yang menjadi anggota wudhu disebutkan dalam ayat al-Maidah [5]:6, adalah wajah, tangan sehingga siku, dan kaki sehingga hujung kaki.

Dalam hadis riwayat Muslim juga dijelaskan bahawa, air wudhu mampu mengalirkan dosa-dosa yang pernah dilakukan oleh mata, hidung, telinga, tangan, dan kakinya, sehingga yang berkaitan bersih dari dosa.

Kalangan ulama melarang mengeringkan air wudhu dengan kain kerana dalam redaksi hadis itu dikatakan bahawa proses pembersihan itu sampai titisan terakhir dari air wudhu itu (ma’a akhir qathr al-ma’).

Wudhu dalam Islam masuk di dalam Bab al-Thaharah (penyucian rohani), seperti halnya tayammum, syarth, dan mandi junub. Tidak disebutkan Bab al-Nadhafah (pembersihan secara fisik). Rasulullah SAW selalu berusaha mempertahankan keabsahan wudhunya.

Yang paling penting dari wudhu ialah kekuatan simboliknya, yakni memberikan rasa percaya diri sebagai orang yang ‘bersih’ dan setiap waktu dapat menjalankan ketaatannya kepada Tuhan, seperti mendirikan solat, menyentuh atau membaca mushaf Al-Quran.Fakta Wudhu sendiri akan menghalang diri untuk menghindari apa yang secara spiritual merosak citra wudhu. Dosa dan kemaksiatan berkontradiksi dengan wudhu.

Cara Wuduk Rasulullah S.a.w
Dari Abdullah bin Zaid bin Aasim al-Ansariy r.a, beliau telah ditanya: “Tunjukkan kepada kami cara Rasulullah S.A.W berwuduk.. Maka beliau pun meminta sebekas air, lalu menuang sedikit air ke atas tapak tangan dan membasuhnya sebanyak tiga kali. Kemudian beliau memasukkan tangan ke dalam bekas untuk mencedok air dengan tangannya dan berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung dengan air yang sama sebanyak tiga kali. Kemudian beliau mencedok air sekali lagi lalu membasuh muka sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau mencedok lagi dengan tangannya lalu membasuh tangan hingga ke paras siku dua kali. Kemudian beliau mencedok lagi lalu menyapu kepala dalam keadaan menyapu tangannya dari arah depan kepala ke arah belakang dan menyapu tangannya kembali ke arah depan kepala, kemudian beliau membasuh kedua kakinya hingga ke paras buku lali. Selepas itu beliau berkata: Beginilah cara Rasulullah s.a.w mengambil wuduk .”

(Muslim )


Huraian
Wuduk yang sempurna akan mendapat kekhusyukan dalam sembahyang. Sembahyang yang dimaksudkan ialah sembahyang yang mampu menegah seseorang itu daripada melakukan kerja-kerja yang keji dan mungkar kerana wuduk itu bertujuan untuk membersihkan diri daripada kotoran najis dan hadas sedangkan sembahyang pula dapat membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah kerana sembahyang adalah merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosa yang telah lalu, selagi seseorang itu tidak melakukan dosa-dosa besar.

Wallahu’alam….


 


Sumber: FB Islam Untuk Semua


 http://www.facebook.com/islam.untuk.semua


 


Rujukan:


 http://en.wikipedia.org/wiki/Baron_Omar_Rolf_von_Ehrenfels


 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...